Monday 23 May 2016

10 Tips Berjumpa Bakal Mertua

10 Tips Berjumpa Bakal Mertua

1. Rancang Pertemuan: Faktor masa adalah penting dalam membuat temujanji atau aturan bertemu keluarga mertua. Kerana pemilihan masa akan menentukan keadaan dan suasana pertemuan itu. Elakkan pertemuan secara mengejut, atau datang bukan dalam waktu keraian. Pilihlah tarikh pertemuan seperti hari raya, kenduri kahwin saudara dan yang sewaktu dengannya.

2. Jaga Penampilan Diri: Tanggapan pertama keluarga mertua amat penting supaya mertua dapat menganalisa keperibadian anda sepenuhnya. Maklumlah, untuk menyerahkan kehidupan anaknya kepada anda, mereka perlulah membuat kajian sendiri juga tentang bakal menantu yang akan dikahwini oleh anda. Jadi berpakaian sopan merupakan kepentingan utama. Contoh berpakaian sopan yang paling ideal adalah baju kurung. Biar santai tetapi kemas.

3. Tunjukkan Adab Sopan Dan Kerajinan: Tunjukkan akhlak yang baik. Pertuturan yang baik dan sifat yang terpuji menggambarkan keperibadian anda. Untuk perempuan, ringankan tulang anda untuk membantu bakal mentua seperti memasak, mengemas, membasuh pinggan dan sebagainya. Bakal mentua juga akan menganalisa anda berdasarkan skil komunikasi, memasak, skil sebagai suri rumah tangga yang akan menjaga anak mereka kelak.
Untuk lelaki pula, jika ada kenduri, buat-buatlah rajin tolong goreng ayam. Jika ada keraian, ringakan-ringankan tangan angkat makanan dan dulang pada tetamu. Tentu akan ada orang berbisik-bisik, “Eh, siapa tu yang rajin angkat hidang. Tak pernah nampak pun”. Haaa.. nampak tak permainan ini?

4. Biarlah Besederhana: Tips berjumpa bakal mertua yang seterusnya ialah sentiasalah bersederhana dalam segala perlakuan anda. Ini kerana sifat bersederhana dituntut oleh syarak dan juga menyejukkan mata yang memandang. Jangan ada rasa bongkak diri atau bersifat berlebih-lebihan. Ini kerana mentua menyukai menantu yang tidak mempunyai sifat bangga diri dan sentiasa bersederhana. Ianya juga akan merapatkan silaturrahim antara kedua belah pihak. Untuk perempuan, elakkanlah bermekap tebal-tebal.

5. Jaga Diri Sendiri, Jangan ‘FAKE’: Ini adalah tips yang sebaik-baiknya dan perlu dijadikan tabiat. Ianya akan menunjukkan keperibadian anda yang sebenar kepada mertua. Sepertimana anda terhadap pasangan anda, begitulah juga layanan anda kepada mentua, cuma perlu lebih bersopan dan mengetahui batas-batasnya. Hipokrasi hanya akan mengundang syak wasangka dan memberikan tanggapan buruk dari pihak mentua. Jangan sebelum kahwin nampak baik, selepas kahwin baru tunjuk tembelang!

6. Ada Pengetahuan Agama Yang Kukuh: Ilmu pengetahuan tentang agama amat penting kerana itu adalah tunggak kebahagiaan dan kewajipan keluarga. Agama memberi panduan kepada keluarga dan pasangan ke arah kehidupan yang lebih bahagia di dunia dan akhirat. Selain itu juga, ilmu tersebut juga akan menjadi panduan kepada anak-anak yang akan lahir kelak. Untuk lelaki, jangan sampai bakal mertua suruh baca doa makan, tidak tahu pula. Apatah lagi bila didorong ke depan untuk jadi imam solat, asyik geleng-geleng kepala. Jika mahu kahwin anak dia, kenalah tahu memimpin keluarga.

7. Soal-selidik Pihak Mertua: Sebelum berjumpa pihak mentua, eloklah membuat soal-selidik dahulu melalui pasangan anda. Ini kerana ianya dapat mengelakkan salah faham dan juga mengetahui cara yang betul untuk menambat hati pihak mentua. Tanya betul-betul, cuma jangan sampai pasangan rasa pissed-off.

8. Pandai Membuka Bicara: Dalam mana-mana skil komunikasi, pembukaan bicara adalah yang paling sukar dilakukan terutamanya apabila di dalam keadaan yang janggal. Setelah melakukan soal-selidik pihak mentua daripada pasangan anda, anda akan dapat gambaran apakah topik yang dapat dibicarakan bersama mentua. Cuba berbual secara spontan dan natural, supaya ianya tidak digambarkan seperti sudah dirancang dan diskripkan. Jika tidak tahu mahu bual apa, cuba tanya tentang cuaca, “Macam mana minggu ini, panas tak?”. Atau, “Lama rasanya tidak hujan tempat saya. Kat sini hujan tak?”. Nescaya, akan panjang perbualan itu.

9. Bawa Buah Tangan: Buah tangan merupakan simbol penghargaan kepada pertemuan anda dan pihak mentua. Dari soal-selidik juga, anda dalam proses menambat hati mentua. Ianya juga dapat dijadikan topik perbualan seperti contoh, kalau anda membawa kek lapis, kemungkinan pihak mentua akan bertanya dari mana anda membelinya. Jikalau anda membuat sendiri, mungkin anda dan pihak mentua dapat berkongsi resipi atau tips untuk memasaknya. Yang paling selamat ialah dengan bawa buah-buahan sahaja. Tanya pasangan, buah-buahan yang macam mana yang mertua suka.

10. Kenal-kenal Dengan Bakal Abang/Kakak/Adik Ipar: Ini tips berjumpa bakal mertua yang terakhir. Dan ini antara yang paling penting. Jangan buat muka sombong. Cuba berbaik-baik dan kenal-kenal dengan bakal abang/kakak/adik ipar. Mulanya, mungkin ada yang nampak sombong. Bila bakal mak mertua kenalkan satu persatu, mungkin boleh jadi lebih rapat.Ambil peluang untuk mengenali lebih rapat, kerana bila berkahwin dengan pasangan, kita bukan kahwin dengan pasangan itu sahaja. Kita kahwin dengan seluruh keluarganya.

Pssstt..jangan lupa kursus kahwin minggu ni pada 28&29 Mei 2016. Kursus seterusnya pada 4&5 Jun 2016 di Jitra.

Untuk DAFTAR Anda cuma perlu berikan: NAMA PENUH + NO. I/C + NO. TEL + TARIKH KURSUS ke 017 – 5767 433

FB Page: 
Kursus Kahwin Alor Setar

Kursus Perkahwinan Islam Masjid Al-Muttaqin Jitra


No comments:

Post a Comment